Wednesday, September 12, 2012

Sastera Melayu cermin kehidupan






BANGSA yang menilai hasil karya sasteranya adalah bangsa bertamadun, maju dan menuju kecemerlangan. Hasil sastera adalah akal budi bangsa yang dicipta oleh para sasterawan, budayawan, dan cendekiawan yang mahukan bangsanya hidup dengan harmoni dan berbudaya.

Itulah sebabnya kata-kata "sastera adalah cermin masyarakat" yang menggambarkan kehidupan dan sosiobudaya masyarakat sejak dahulu hingga kini. Sejak dahulu sastera Melayu dituturkan melalui amalan budaya dan kehidupan seperti pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa dan kata-kata hikmat. Kini bahan-bahan tersebut masih dikekalkan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah menengah.

Sastera berkembang dan terus hidup dalam masyarakat. Masyarakat yang meminggirkan sasteranya bermakna masyarakat hilang cermin untuk melihat peribadi, hati budi dan ketamadunan.
Masyarakat dahulu mempraktikkan pantun dalam kehidupan. Misalnya semasa bekerja di sawah, di bendang dan di ladang. Alam dan persekitaran menjadi bahan sastera yang diucapkan melalui pantun secara spontan. Pantun telah menjadi alat perhubungan, pengikat kemesraan melalui upacara merisik, pertunangan dan perkahwinan.

Objek-objek indah yang dapat dikesan melalui kuasa deria diucapkan melalui pantun. Keindahan telah menyedarkan manusia tentang wujudnya Maha Pencipta yang mencipta alam ini. Sebagai contoh pantun yang biasa kita dengar ini dicipta melalui pemerhatian alam:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Plato berpendapat objek-objek indah yang dapat kita kesan melalui kuasa deria berlainan sama sekali daripada keindahan itu sendiri. Tetapi keindahan itu sendiri tidak wujud dalam alam kuasa deria. Keindahan dalam bentuknya yang tersendiri hanya wujud dalam alam akaliah.

Justeru, Plato pernah berkata, "Kebaikan atau sebarang benda lain yang baik (jika dia apa daya pun memperoleh imej sesuatu dia memperolehnya melalui pendapatnya bukan melalui pengetahuannya)?
Seperti kata Matthew Arnold, sastera adalah cermin kehidupan. Ini bermakna melalui sastera kita dapat melihat dan merenung kembali kehidupan masa lampau dan gambaran masa depan.

Jelaslah, dalam sastera Melayu khususnya pantun nilai keindahan dan estetik ini sangat dititik beratkan oleh pencipta pantun atau pujangga tak bernama. Mereka ini mencipta pantun disesuaikan dengan kehidupan serta amalan masyarakat pada masa dahulu, dan sesetengahnya masih relevan dengan keadaan pada masa kini.

Justeru, pada masa kini mempraktikkan nilai sastera; iaitu nilai-nilai yang baik, nilai murni, nilai moral dan nilai Islam itu kini dipraktikkan dalam P&P Komponen Sastera (Komsas) di sekolah menengah. Teks sastera yang dijadikan bahan Komsas seperti cerpen, drama, prosa klasik, sajak, pantun, syair, gurindam, seloka dan novel sedikit sebanyak telah mendidik anak-anak remaja ke arah kebaikan.

Sebagai contoh Komsas Tingkatan Satu antologi Kasut Kelopak Jantung; Puisi Tradisional mengandungi empat pantun, dua syair, tujuh sajak, empat prosa tradisional, tujuh cerpen dan empat drama. Manakala Tingkatan Dua Gema Sepi Gadis Genius; Puisi Tradisional tiga pantun, tiga syair, enam sajak, Prosa Tradisional mengandungi empat cerita, enam cerpen dan tiga drama.

Tingkatan Tiga teks lama Anak Bumi Tercinta; Puisi Tradisional mengandungi tiga pantun, tiga syair dan puisi baharu enam sajak. Prosa Tradisional empat cerita, enam cerpen dan tiga drama. Bagi teks Tingkatan empat antologi Harga Remajamengandungi Puisi Tradisional dua pantun, dua syair, satu gurindam. Bagi puisi baharu enam sajak, Prosa Tradisional empat cerita dan lima cerpen. Bagi Tingkatan Lima Antologi Dirgahayu Bahasaku mengandungi Puisi Tradisional dua pantun, dua syair, satu gurindam dan satu seloka. Puisi baharu enam sajak. Prosa Tradisional empat cerita dan enam cerpen serta tiga drama.

Pengajaran

Jika dikira pada jumlahnya sudah memadai dan mencukupi bagi pengajaran dan pembelajaran (P&P) Komsas dan ada sekolah yang tidak sempat menghabiskannya. Mempraktikkan nilai sastera dalam kehidupan mestilah bermula dari awal iaitu sebaik-baiknya di peringkat sekolah rendah.
Nilai-nilai yang baik yang dapat dipelajari adalah melalui tema dan persoalan, watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran. Semua ini terdapat dalam bahan Komsas yang memaparkan realiti kehidupan manusia sebenar.
Pakar-pakar psikologi pendidikan menyatakan pembelajaran aktif dapat dilakukan melalui bahan sastera di dalam kelas. Ini disebabkan, psikologi berkaitan dengan ilmu yang mengkaji tingkah laku yang nyata. Justeru, pembelajaran dapat dilakukan melalui tingkah laku yang kekal akibat latihan, pengalaman dan juga proses pemikiran.
Sebagai contoh Pantun Dua Kerat (nasihat) Tingkatan satu. Perhatikan petikan di bawah:

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama mampu pencuri.
(Md Ali Bachik, petikan antologi Kasut Kelopak Jantung, 2009)

Berdasarkan pantun-pantun di atas P&P dapat dilakukan dengan berkesan kepada pelajar Tingkatan satu. Pancaran nasihat yang jelas dan ringkas dapat diterima melalui pantun yang disampaikan. Terdapat unsur nilai murni, pengajaran, ketinggian budi, kehalusan bahasa, keindahan estetik, ketajaman fikiran, falsafah dan pengalaman hidup yang dapat membentuk akal budi generasi muda.

Bahan-bahan lain seperti syair, gurindam, seloka, sajak, cerpen, prosa tradisional dan drama dalam Komsas sebenarnya sedikit sebanyak dapat mendidik dan mengajar pelajar ke arah kebaikan. Jika dianalisis dan dikaji keberkesanan karya sastera dalam pendidikan memberikan kesan yang positif. Sebagai contoh pantun adalah puisi Melayu tradisional yang asli, tersebar dan berkembang meluas dalam masyarakat Melayu.

Pantun mempunyai nilai keindahan, pemikiran dan falsafah merupakan khazanah warisan Melayu yang menyimpan berjuta makna tersirat untuk dijadikan pedoman dan pengajaran kepada generasi masa kini.

sumber:  Utusan Malaysia/11-09-2011

Sunday, September 9, 2012

JIWA MERDEKA USMAN AWANG


PERBINCANGAN mengenai kepengarangan Usman Awang tidak dapat dipisahkan daripada inti manusiawi. Pandangan sesetengah pihak bahawa Sasterawan Negara ketiga pada tahun 1983 selepas Keris Mas dan Shahnon Ahmad ini adalah penyair idealis-romantis sebenarnya tidaklah tepat.

Melihatkan pola isi jiwa karyanya sebahagian besar berkisar tentang kemanusiaan. Beliau yang pergi menemui Ilahi dalam bulan penuh berkat pada 13 Ramadan 1422H bersamaan 29 November 2001 telah meninggalkan khazanah karya yang lahir dari jiwanya yang memusuhi ketidakadilan dan penindasan.

Bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara, puisi-puisi Usman yang mengangkat tema ini seperti Merdeka, Pahlawan dan Tanah air, Pahlawan Kemerdekaan, Jiwa Hamba dan Tanah Air wajar diuar-uarkan kepada generasi muda hari ini.



Tidak keterlaluan untuk kita bersetuju bahawa Usman Awang adalah penyair humanis dan nasionalis selain perhatiannya kepada aspek lain seperti kekeluargaan dan kedamaian. Hal ini dapat diteliti daripada tinggalan khazanah karya puisinya. Usman tegas menolak kolonial, menjenayahkan perang serta pergelutan kelas sosial dan ekonomi.

Menariknya, Usman kerap melawan arus perasaan masyarakat. Reaksi majoriti masyarakat yang bersimpati dengan kematian penuh kontroversi J.F. Kennedy misalnya disambut oleh Usman Awang secara kritis. Beliau mengingatkan kita patut bersedih dengan kematian umat manusia lain yang tidak didendang seperti halnya tumpuan sedunia terhadap kematian Presiden Amerika itu.

Beliau juga antara sasterawan yang banyak bersimpati dengan nasib dan masa depan kelompok yang diabaikan dalam masyarakat. Nukilan akal budinya berjudulNelayan, Buruh, Pak Utih dan Cerita dari Ladang antara puisi yang sarat dengan nilai sedemikian.

Puisi Pak Utih misalnya yang kemudian memiliki 'episod' kedua kira-kira selepas dua dekad dilahirkan mengungkapkan pertembungan ekonomi masyarakat desa dengan pemimpin yang bergaya mewah di kota. Intipati puisi Usman juga menuntut keadilan sosial, persaudaraan dan kasih sayang melampaui kekangan warna kulit malah halangan geopolitik.

Apa yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam Rohingya, Syria dan Palestin tentunya adalah pertumpahan darah yang telah lama dibenci oleh Usman lewat puisinya. Bunga Popi misalnya adalah puisi yang jelas menunjukkan taring kemusnahannya terhadap kemusnahan peradaban dan kasih sayang sesama insan.

Usman benar-benar mencintai keamanan itu meramahi seluruh alam ini. PuisinyaMerpati Putih, Jelajahi Dunia Ini antara ilham tulusnya yang membenci peperangan. Bermula dengan sajak pertamanya, Korban Tanahair (Utusan Zaman,7 November 1948) rasa cintanya pada ibu pertiwi tidak pernah pudar dihanyut masa.

Malah, karya beliau yang pada dasarnya seperti bercakap tentang keluarga pun tetap terselit nilai kemanusiaan yang tinggi. Dalam puisi Hadiah (1960) misalnya, Usman mengkritik kecenderungan segelintir masyarakat ketika itu memberi alatan permainan berkonotasi perang kepada anak-anak kecil.
Usman sama sekali tidak pernah berkompromi dengan peperangan apatah lagi "mengasuh" anak untuk bermesra dengan perang. Banyak pesan Usman kepada pembaca puisinya. Paling penting yang kita boleh tekankan ialah kesatuan dan kesepakatan kita dalam menjadikan kehidupan ini lebih aman, adil dan makmur untuk setiap jiwa di bumi ini.

Dalam Duri dan Api misalnya, Usman menegaskan pentingnya keberanian dan perpaduan masyarakat untuk menolak penindasan. Antara seruan beliau ialah:

"Kawan-kawanku yang dikasihi,
di belakang duri di depan api,
kita tidak bisa undur lagi,
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Rasa kemanusiaan Usman juga terserlah dengan sejumlah puisi yang khusus mengenai tokoh tertentu atas jasa yang telah ditaburkan. Contohnya, arkitek pendidikan tanah air, Aminuddin Baki disanjung tinggi dalam puisi Usman berjudulGema manakala ketokohan Zulkifli Muhammad pula diangkat lewat puisi Bintang di Langit Zaman.

Malah, rasa hormatnya kepada individu lain meskipun dinyatakan dalam puisi sebagai "berlainan bicara" juga menampakkan jalur tinggi kemanusiaan Usman Awang. Puisi Dato' Onn sesuai dengan judulnya meramu jasa bakti Dato' Onn yang telah berjasa mengelak maruah bangsa dan tanah air tersungkur dimamah perancangan jahat kolonial melalui Malayan Union.

Jelaslah, karya puisi-puisi Usman Awang yang 'berkhasiat', malar segar dan malar segar dalam proses kita meniti negara maju begitu berharga dalam korpus perbendaharaan kesusasteraan negara ini.

Sumber: ARIF ATAN/ Utusan Malaysia 02/09/2012

Tuesday, July 10, 2012

Sastera Umpama Surat Cinta



SESUNGGUHNYA syair yang paling indah, inilah: "ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah bathil," iaitu ungkapan Lubaid. Apakah kesusasteraan (persuratan) yang dikategorikan sebagai sajak, puisi, cerpen, novel atau sebagainya kepada saya?

Hakikatnya penulisan, termasuk sastera, adalah suatu bentuk komunikasi - daripada penulis kepada pembaca, mediumnya adalah kata-kata yang bisu pada lembaran kertas atau pada skrin komputer pada zaman moden ini. Ia bermaksud menyampaikan.

Setiap penulis, bagi pandangan saya, tujuan mereka menulis sesebuah karya adalah untuk menyampaikan sesuatu, sama ada buah fikiran atau pengalaman hidup atau sebagainya untuk dimanfaatkan semua. Cuma kita semua dalam bidang berlainan. Politikus memilih pentas ceramah, ulama memilih mimbar masjid, guru di kelas, jurujual di kaki-kaki lima, dan penulis memilih medium tulisan.

Saya sendiri kadang-kadang agak musykil apabila membaca karya-karya sastera seperti sajak, cerpen dan novel. Berkali-kali membacanya masih juga tidak menemui maksud yang ingin disampaikan penulisnya. Adakah saya ini jahil dan buta sastera? Adakah saya perlu belajar teori-teori sastera untuk memahami sesebuah karya itu? Saya rasa itu membuang masa. Lebih baik saya membaca karya-karya ilmiah yang sifatnya membosankan, tetapi tentu ada isinya. Sepatutnya sastera itu versi mudah kepada karya ilmiah. Sastera sepatutnya sebuah tulisan ilmiah yang menghibur dan menyeronokkan apabila dibaca, dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea yang kita sampaikan.

Bagi saya mudah sahaja. Saya kiaskan saja menulis sesebuah karya itu seperti menulis sepucuk surat cinta untuk bidadari hati kita, seorang perempuan yang kita cintai, tetapi telah menolak cinta kita. Untuk lebih kompleks dan mencabar, perempuan itu malah sesungguhnya membenci kita.

Bagaimanakah surat cinta itu seharusnya ditulis tidaklah penting. Itu atas daya kreativiti kita. Apa yang penting, surat itu seharusnya ditulis dengan maksud utama menggugat hati perempuan tersebut, kemudian mempengaruhinya agar menerima cinta kita. Begitulah kaitan penulis dan pembaca. Penulis harus berusaha memikat dan mempengaruhi pemikiran pembaca, sebagaimana seorang lelaki berusaha memikat perempuan melalui surat. Surat itu harus boleh difahami oleh perempuan. Keindahan dan seni surat itu hanya untuk menarik hati perempuan. Jika surat itu penuh dengan simbol atau bunga-bunga bahasa yang kononnya bernilai seni sehingga tidak mampu difahami perempuan, surat itu sudah tidak mencapai maksudnya. Begitu juga dalam hubungan penulis dan pembaca.

Apabila dalam surat tersebut si lelaki memuji dengan ikhlas perempuan itu berhidung mancung, tetapi menimbulkan kemarahan perempuan kerana disalahfahami sebagai menyindir, itu adalah kegagalan si lelaki.Janganlah pula dimaksudkan saya menyarankan agar menulis karya lucah untuk mudah diterima pembaca. Sebaliknya, karya lucah juga tidak ada kelucahannya jika ia tidak dapat difahami.

Kata-kata memang abstrak, tetapi ia tetap tertakluk kepada logik sama seperti matematik. Penulis boleh menyerahkan kepada pembaca apa maksud karyanya seperti disarankan oleh Roland Barthes itu; tetapi bagi saya, saya malu jika pembaca tidak faham cerpen atau puisi saya. Sayalah yang jahil dan tidak berhikmah kerana tidak berjaya menyampaikan maksud saya.

Ia sama juga dengan mencampurkan pelbagai warna, kemudian melakarkannya tanpa sebarang erti di atas kertas, lalu membingkaikannya sebagai sebuah lukisan. Dan apabila tetamu datang bertanyakan apa di sebalik lukisan yang terpaku di dinding ini, kita katakan terpulanglah kepada kamu untuk mentafsirkannya sebagai apa. Jika ini dimaksudkan sebagai seni, orang buta pun boleh melukis.

Bubuhlah bedak yang wangi sebanyak manapun dalam surat yang berkajang-kajang itu, jika ia tidak difahami oleh si perempuan, tidak ada ertinya. Malah si perempuan mungkin menganggap kita ini majnun, merepek-repek dengan kata-kata purba dari tamadun yang sudah pupus.

Dalam situasi penulis dan pembaca, kita akan mendengar luahan-luahan kecewa penulis apabila karya mereka tidak dibaca, tidak laku jualan bukunya dan tidak dipedulikan, lalu mendakwa khalayak pembaca sebagai bodoh, sukakan bacaan ringan, dan tidak mahu berfikir. Itu sebenarnya sama seperti menyatakan bahawa si perempuan itu bodoh, jahil atau tidak tahu menilai kerana tidak mahu menerima cinta daripada kita yang budiman, kacak bergaya dan kaya berkereta sport ini, walhal sebenarnya kitalah yang tidak pandai memikat perempuan. Lalu sepatutnya kita berasa malu pada mat-mat rempit yang boleh membawa perempuan-perempuan cantik membonceng motosikal mereka.

Jika penulis menulis sekadar untuk menceritakan sesuatu, lebih elok dia menulis buku sejarah yang objektif. Atau jadi seorang jurugambar yang tepat rakamannya, dan terpulanglah kepada orang yang melihatnya untuk mentafsirkannya.

Tetapi dunia tetap menyatakan seseorang penulis yang hebat itu adalah penulis yang boleh merobah pemikiran masyarakat, dan untuk merobah pemikiran masyarakat, syarat pertama adalah sesebuah karya itu haruslah boleh difahami minda orang awam terbanyak, termasuk yang jahil. Dan keindahan dan kesenian sesebuah karya itu pula bukan hanya pada bahasa dan kata-kata, tetapi juga pada maksudnya, sebagaimana maksud ungkapan penyair Lubaid yang diakui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai syair yang paling indah.

Sumber:  Utusan Malaysia:08.07.2012 (Azman Hussin)

Monday, July 2, 2012

BAHASA MELAYU Dari Kaca Mata Penyair Dr Lim Swee Tin




Beliau bukan Melayu. Beliau juga bukan berketurunan Melayu tetapi Prof Madya Dr Lim Swee Tin adalah nama besar dalam bidang kesusasteraan Melayu khususnya bidang kepenyairan.
Beliau telah menghasilkan banyak novel, cerpen, puisi dan tulisan-tulisan berbentuk kesusasteraan.
Beliau juga adalah penerima S.E.A Write Award 2000, penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.
Bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu mungkin menjadikannya lebih Melayu daripada keturunannya sendiri, iaitu Cina peranakan Kelantan.
Secara umumnya, Cina Peranakan Kelantan mengamalkan budaya yang rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat tempatan di Kelantan.
Bahasa percakapan mereka adalah campuran Melayu, Siam dan Cina.
"Orang Cina di pantai Barat tak faham, tergamam mereka kalau mendengar percakapan kami," kata Dr Lim sambil tersenyum ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.
Beliau kini menyandang jawatan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 1 Disember 2000.

DUNIA MELAYU 

Bukan sahaja dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bahkan Dr Lim turut bersekolah Melayu, boleh dikatakan dunianya 100 peratus Melayu!
Sambil menyifatkan pengalaman hidupnya berbeza daripada kebanyakan orang lain, sebelum berusia enam tahun dan sebelum masuk darjah satu, beliau sudah boleh menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu.
"Masa itu tidak ada tadika. Saya juga belajar sendiri sebelum masuk ke sekolah. Saya rapat dengan sebuah keluarga Melayu dan anak-anak dia, menjadikan kakak-kakak angkat saya mengajar saya membaca dan menulis.'
"Secara kebetulan bapa saya ada duit sedikit dan membelikan buku untuk saya baca. Buku yang kecil-kecil dan nipis, harganya sekitar 5 sen atau 10 sen sebuah. Masa itu, sebulan sekali ada peniaga yang datang ke kampung menjual buku-buku ini.
"Saya juga baca buku, kalau tidak silap kisah daripada Sejarah Melayu yang diringkaskan dan dipermudahkan. Saya suka kepada bentuk bahasa dan karya sastera," Dr Lim mengingati semula zaman kanak-kanaknya.

 BACA DAN INTERAKSI

Minat membaca yang disemai dan dipupuk dari usia muda ternyata menumbuhsubur minatnya dalam kesusasteraan Melayu dan penyumbang utama kepada kejayaannya hari ini.
Justeru tidak hairanlah beliau sentiasa mengesyorkan supaya masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira bangsa dan keturunan agar merapatkan anak-anak mereka dengan pembacaan Bahasa Melayu.
"Ini akan menjadi asas yang kuat berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.
Dr Lim turut berpandangan dalam konteks masyarakat Malaysia, interaksi kaum amat perlu dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia.
Ia adalah antara ramuan utama untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang kukuh dan padu.
"Kita mesti perluaskan interaksi kita. Jangan dihalang interaksi antara kaum, jangan dibatasi walau dalam apa jua bidang.
"Interaksi inilah yang akan semakin mendekatkan kita kepada penguasaan bahasa di samping mewujudkan persefahaman dan sikap tolak ansur serta perpaduan yang kukuh.
"Jangan ambil mudah hal ini. Lambat laun anak-anak akan membesar dalam sifat yang tidak janggal," tegasnya.
Dalam konteks yang sama, Dr Lim turut berpandangan perlu dikikis prasangka dan kekeliruan yang wujud dan berlaku dalam hal-hal yang disifatkannya sebagai remeh-temeh yang tidak menyokong pembinaan satu negara bangsa dalam erti katayang sebenarnya.
"Kadang-kadang kita bercakap hendak membina sebuah masyarakat yang padu, yang kukuh tetapi dari segi pelaksanaan kita berbuat sesuatu yang menunjukkan kita ada prasangka," tambahnya.
JUGA BOLEH
Dr Lim dan Bahasa Melayu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Runtunan hatinya mengenai nasib Bahasa Melayu yang sering beliau sebut sebagai ‘Bahasa kita’ sepanjang wawancara ini menunjukkan betapa mendalamnya beliau menjiwai isu ini.
Perjuangan yang telah berakar umbi sejak empat dekad yang lalu masih diteruskan ke hari ini seperti katanya," selagi saya terdaya saya akan teruskan."
Bermula daripada membaca buku-buku cerita Melayu semasa kecil, minatnya untuk mendalami kesusasteraan Melayu terus bercambah sewaktu beliau belajar di maktab perguruan dan terbabit secara aktif dalam Persatuan Bahasa dan Budaya.
Beliau turut mengkagumi tamadun Melayu yang disifatkannya terbina degan begitu halus dan indah.
Dr Lim turut menjadikan pembabitannya dalam bidang Bahasa Melayu ketika di maktab perguruan sebagai asas untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dalam dirinya.
Beliau mahu membuktikan bahawa orang Cina juga mengambil tahu tentang Bahasa Melayu dan boleh menguasai serta menjadikan Bahasa Melayu itu menjadi ‘bahasa kita’.
Berpidato dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam Bahasa Melayu menjadikan namanya mula dikenali dan disegani.
"Saya kata saya nak menulis dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu tahu Lim boleh menulis dalam Bahasa Melayu. Dia sayang Bahasa Melayu, cinta Bahasa Melayu.
"Masyarakat bukan Melayu pula berkata ada seorang bukan Melayu yang bagus Bahasa Melayu. Mengapa anak saya tidak bagus seperti dia. Itu yang saya ingin, menjadi contoh, " katanya.
 JANGAN REMEHKAN
Pucuk dicita ulam mendatang. Kejayaan yang diraih Dr Lim turut menjadikannya sebagai contoh teladan.
Sering beliau ketemu ibu bapa yang bukan sahaja memujinya tetapi memberitahu mereka menjadikan kejayaan beliau menguasai Bahasa Melayu sebagai contoh untuk diteladani anak-anak mereka.
Pun dalam masa yang sama beliau memberitahu sudah ramai orang bukan Melayu, iaitu Cina dan India yang sekarang bercakap berkias-kias.
"Ini sesuatu yang membanggakan tetapi janganlah sampai kita hendakkan kesempurnaan sehingga kita berkata tidak semua yang pandai berkias," kata Dr Lim.
Beliau turut meminta supaya tidak memandang serong kepada orang bukan Melayu yang tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu langsung.
Sambil menyifatkan kelompok seperti itu semakin mengecil kerana ramai yang sudah meninggal dunia, beliau memberitahu memang ada sesetengah ahli masyarakat Cina yang tidak pernah mendapat pendidikan Melayu.
"Mereka itu hanya pandai berbahasa Melayu pasar melalui pergaulan dengan orang Melayu atau langsung tidak boleh bertutur Bahasa Melayu sebab mereka hanya berinteraksi dengan orang Cina.
"Kehidupan sehari-hari kelompok ini dalam lingkungan keluarga Cina, membeli-belah di kedai Cina, jadi langsung tidak boleh bercakap Melayu.
"Jadi apabila kita bercakap hari ini ada orang Cina yang tidak boleh bercakap Bahasa Melayu, itulah golongannya. Tidak boleh menyalahkan mereka. Keadaan yang menjadikan mereka begitu, " jelasnya.
REALITI SEMASA
Senario berbeza dengan generasi muda Cina yang belajar Bahasa Melayu secara yang sistematik dan teratur di sekolah kebangsaan di mana kata Dr Lim penguasaan Bahasa Melayu mereka boleh dibanggakan.
Bagi mereka yang terus masuk ke sekolah Cina, katanya, kelompok ini ada kelas Bahasa Melayu tetapi mempunyai masalah dengan Bahasa Melayu kerana interaksi yang terhad dengan orang Melayu.
"Jadi kita harapkan kelompok yang menguasai Bahasa Melayu ini akan membesar dan golongan inilah yang kita harap dapat menyumbang kepada perkembangan dan kesuburan dari segi penggunaan Bahasa Melayu yang baik.
"Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat. Saya melihat ada perlunya ahli atau tokoh bahasa bila bercakap tentang masyarakat Cina yang tidak boleh menguasai Bahasa Melayu, jangan pukul rata, jangan meremehkan. Sebenarnya masyarakat Cina dari kelompok yang mana? Saya akui masih ada kelompok orang Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu.
"Begitu juga dengan kelompok Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris dari awal. Barangkali mereka juga turut teraba-raba nak bercakap Bahasa Melayu yang betul, bahasa percakapan harian itu betullah, ini kita nak cakap Bahasa Melayu yang betul, yang santun, " tambahnya.
Secara keseluruhannya beliau melihat ada banyak kemajuan dalam sistem pendidikan negara dari segi penguasaan Bahasa Melayu.
Pihak yang menolak kenyataan ini, katanya, secara tidak langsung meremehkan Kementerian Pelajaran serta usaha yang dibuat oleh ahli bahasa selama ini.
"Secara sindiran kita akan menyatakan sistem pendidikan kita gagal," tegasnya.
TONGGAK PERPADUAN
Bagi Dr Lim Bahasa Melayu juga selayaknya menjadi tunggak kepada perpaduan bangsa Malaysia, tidak ada bahasa yang lain.
Baginya, kesan insiden tahun 1969 jelas menunjukkan keperluan satu saluran yang sama, yakni Bahasa Melayu untuk menyatakan hasrat hati dan menyampaikan aspirasi hidup selepas insiden itu.
"Bahasa Melayu perlu menjadi tunggak kita yang satu-satunya. Setiap orang mesti memahami, mesti menguasai Bahasa Melayu.
"Apabila berlaku percanggahan pendapat orang Melayu dengan orang Cina umpamanya maka mereka boleh berdebat, boleh berbahas melalui saluran Bahasa Melayu supaya tidak timbul salah faham atau kekeliruan.
"Saya fikir sebuah negara yang makmur seperti Malaysia tidak boleh menerima kerosakan, kehancuran, huru-hara atau pertumpahan darah.
"Cukup sekali. Masyarakat kita unik, bukan jenis masyarakat yang suka kepada huru-hara, demonstrasi, protes, kekerasan termasuklah berbunuh-bunuhan. Ini bukan rupa bentuk bangsa kita, " tegasnya.
BAHASA ILMU
Bahasa Melayu bagi Dr Lim bukan sahaja tonggak perpaduan negara tetapi juga selayaknya menjadi bahasa ilmu.
Sejak zaman berzaman, Bahasa Melayu, katanya telah membuktikan bahawa ia mampu bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) tetapi juga bahasa ilmu merentas zaman.
"Kita imbaslah keupayaan bahasa kita, bahasa yang kuat menyalurkan ilmu tentang keagamaan, budaya dan falsafah yang tinggi-tinggi.
"Ini menunjukkan kemampuan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu sudah terbukti sejak sekian lama sejak zaman berzaman, abad ke abad. "Kita bukan cakap-cakap kosong. Ini sudah terbukti melalui sekian banyak penerbitan. Semuanya menunjukkan Bahasa Melayu itu mampu mengangkat ilmu, menyampaikan ilmu dan mengembangkan ilmu. Itu kekuatan Bahasa Melayu, " kata Dr Lim lagi.
Mengenai suara-suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu banyak mengambil bahasa asing, beliau tegas memberitahu bahawa istilah berkembang seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.
"Mahu tidak mahu kita mesti menggunakan istilah itu.
"Jangan kata Bahasa Melayu sahaja menggunakan bahasa ambil ini, yang berkembang seiring dengan perkembangan zaman sains dan teknologi," jelasnya.
SEDIKIT KHUATIR
Dalam masa yang sama, Dr Lim turut melahirkan rasa khuatirnya dengan perkembangan mutakhir bahawa Bahasa Melayu seolah-olah tidak lagi menjadi bahasa ilmu.
Berdasarkan pemantauan sendiri, beliau memberitahu bahawa hal-hal keilmuan sekarang kurang ditulis dalam Bahasa Melayu dan tidak berlipat ganda seperti mana yang diharap-harapkan.
"Mengapakah hal ini berlaku? Apakah negara kekurangan ilmuwan? Adakah ilmuwan tempatan sendiri tidak meyakini Bahasa Melayu atau pun kita berada dalam satu era di mana ilmuwan kita ini kebanyakannya mendapat pendidikan Inggeris?
"Adakah mereka tidak percaya bahawa Bahasa Melayu mampu mendukung ilmu yang mereka hendak sampaikan itu atau secara kebetulan ilmuwan kita ada yang mendapat pendidikan Barat jadi mereka lebih selesa menyampaikan ilmu dalam BahasaInggeris.
"Memang ilmu boleh disampaikan melalui apa-apa bahasa pun akan tetapi pada ketika kita hendak memperkasa Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita, tiba-tiba semua bidang keilmuan kita dalam bahasa asing, dalam Bahasa Inggeris sebagai contoh, " soal beliau.
PERLU BINCANG
Dr Lim mengesyorkan perbincangan yang teratur dan sistematik dibuat supaya dapat dicari jalan tengah untuk menunjukkan Bahasa Melayu masih kekal relevan untuk mengungkap bukan sahaja semua bentuk ilmu tetapi ilmu yang tinggi.
Sewajarnya gejala yang menimpa bahasa kebangsaan pada hari ini, katanya tidak dibiarkan berterusan kerana ia akan hanya mengundang pelbagai tanggapan negatif.
"Akhirnya Bahasa Melayu akan dianggap hanya sesuai untuk komunikasi yang mudah-mudah sahaja tetapi tidak mampu, tidak berdaya untuk menjadi bahasa ilmu, " keluhnya sambil mengungkap beberapa bait daripada puisinya yang bertajuk "Citra Bahasa".
"Jangan perkecilkan bahasa Melayu, Kelak ia semakin kerdil, Kerdil bahasa kerdilah jiwa, Tak berjiwa manakah lagi kebersamaan kita. "Lama telah bahasa kita berdaulat, Bukalah laman sejarah, lihatlah jerih, Lihat payah yang terpahat, Kita juga telah memberinya tempat, Setelah dinobat diangkat martabat, Janganlah lagi direntap disentap." - BERNAMA

Thursday, June 28, 2012

Blog ini memperkatakan tentang BAHAS (Bahasa dan Sastera di Malaysia dan di peringkat antarabangsa)